Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Itu pegangan hidup Effa Ezzaty Mohd. Azhar yang merupakan anak jati Johor Bahru.
Mesra disapa Effa, gadis berusia 28 tahun itu pernah mengecap bahagia apabila impiannya untuk bergelar pramugari tercapai selepas diterima bertugas dengan syarikat penerbangan, AirAsia X enam tahun lalu.
Benar kata pepatah, hidup umpama roda. Anak bongsu daripada dua beradik itu diuji apabila kehilangan pekerjaan selepas syarikat tempat dia bekerja mengecilkan operasi disebabkan pandemik Covid-19.
Enggan meratapi takdirnya, Effa bingkas bangun mencari hala tuju hidupnya dan kini bekerja sebagai pembantu peguam.
Kepada Kosmo! Ahad, Effa berkongsi mengenai kehidupan termasuk pengalamannya bertugas di awam biru
Kosmo! Ahad: Mengapa memilih kerjaya sebagai pramugari?
Effa: Sejak di bangku sekolah rendah saya bercita-cita bekerja di awan biru. Selepas tamat tingkatan lima pada 2010, saya menyambung pengajian dalam Diploma Pengurusan Pejabat di Universiti Teknologi Mara sebelum memasuki Akademi Penerbangan di Kelana Jaya, Selangor.
Bagaimana permulaan kerjaya di awan biru?
Saya pernah memohon bekerja di Malaysia Airlines tetapi gagal sebelum diterima AirAsia X pada 2015. Empat tahun menimba pengalaman terbang ke negara orang, saya kemudiannya dipindahkan untuk bersama AirAsia JB.
Berapa banyak negara sudah dilawati?
Kebanyakan negara Asia seperti Jepun, Korea, India, Vietnam, China, Taiwan selain Arab Saudi, New Zealand serta Iran
Adakah Effa menjangkakan akan hilang pekerjaan?
Selepas negara dilanda Covid-19, banyak penerbangan terpaksa dibatalkan dan keadaan ini berlarutan berbulan lamanya, jadi naluri kuat menyatakan nama saya tersenarai dalam kumpulan kedua pada 31 Oktober 2020.
Perasaan Effa menerima berita duka itu?
Hanya Tuhan yang tahu betapa perit dan sedihnya ketika itu. Rasa dunia gelap seketika, namun apakan daya sudah takdir saya.
Bagaimana Effa bangkit daripada situasi getir ini?
Sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 2020, saya sudah membuat persediaan mengumpul duit bagi menjalankan perniagaan online sebagai ejen produk kosmetik. Kita tidak boleh selamanya meratap sedih kerana tindakan itu tidak mendatangkan apa-apa malah menambah tekanan.
Apa perancangan seterusnya Effa?
Selain perniagaan online, saya bersyukur kerana diterima bekerja sebagai pembantu peguam di sebuah firma guaman di Johor Bahru.
Apa pandangan mengenai tanggapan jual rupa untuk mendapat kerja?
Saya tidak pernah menggunakan rupa paras untuk mendapatkan sesuatu. Saya percaya dengan usaha dan rezeki. Sekiranya cantik tetapi malas, semua kerja tak jalan.
Ketika ini, hangat diperkatakan mengenai wanita yang mahukan kekayaan pantas sehingga sanggup menjadi sugar baby. Apa pandangan Effa?
Semasa berusia 26 tahun, saya pernah didatangi seorang lelaki bekerjaya dan kaya berusia dalam lingkungan 40-an yang menawarkan saya menjadi sugar baby. Lelaki itu turut menjanjikan hadiah kenderaan mewah, tetapi saya menolak.
Mengenai penjagaan kesihatan, apa yang dilakukan agar kekal langsing?
Kerjaya pramugari sebelum ini memerlukan bentuk badan yang menarik, jadi saya perlu menjaga pemakanan serta kurangkan minuman bergula. Setiap pagi saya bersenam, itu rutin wajib saya untuk kekal cergas.
Apa nasihat kepada Effa kepada pembaca Kosmo! Ahad?
Ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk bukannya makin berjaya makin mendongak ke langit kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Jadilah individu yang merendah diri.