SINGAPURA – Sejenis ikan prasejarah memiliki rupa seperti aligator mengejutkan penduduk setempat selepas ditemui terdampar di tepi sebuah kolam takungan air di Singapura, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Bangkai haiwan itu dijumpai di tebing Kolam Takungan MacRitchie minggu ini, manakala penduduk setempat keliru mengenal pasti haiwan tersebut.
Ia ditemui warga Britain yang kini menetap di Asia, Karen Lythgoe, 31.
Haiwan pelik itu sebenarnya seekor aligator gar. Ikan itu berasal dari selatan Amerika Syarikat yang terletak 16,000 kilometer dari Singapura.
Spesies itu mengeluarkan telur beracun dan merupakan pemangsa utama manakala perbuatan melepaskan ikan aligator gar ke kawasan akuatik boleh merosakkan ekosistem tempatan.
“Kami pada mulanya menyangka ia seekor buaya tetapi sangsi, jadi, kami pergi lebih dekat untuk melihatnya.
“Ia bukan seekor buaya. Ia kelihatan prasejarah dengan gigi dan rahang yang besar.
“Saya terkejut dan keliru bagaimana boleh berada di kawasan takungan tersebut,” kata Karen.
Ditanya bagaimana haiwan itu boleh berada di Singapura, pihak berkuasa pulau itu percaya ia asalnya adalah haiwan peliharaan tetapi dilepaskan pemiliknya ke kolam takungan apabila menjadi terlalu besar.
Menurut media tempatan, anak ikan aligator gar boleh dibeli daripada penjual ikan peliharaan tempatan. Pada kebiasaannya, anak ikan itu memiliki panjang cuma 20 sentimeter atau lapan inci.
“Kami mahu memberi peringatan kepada semua orang bahawa perbuatan melepaskan haiwan ini akan menjejaskan ekosistem akuatik kita yang rapuh dan juga mendatangkan bahaya kepada pengguna,” kata pihak berkuasa Singapura.
Ikan aligator gar adalah spesies karnivor yang memakan ikan lain, ketam, labi-labi dan mamalia kecil.
Mereka yang melepaskan haiwan asing ke dalam empangan dan laluan air lain boleh didenda sehingga SG$3,000 (RM9,139) di bawah undang-undang Singapura. – Agensi