Oleh NIK SUKRY RAMLI
KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa syukur ke atas pemasyhuran Kuantan sebagai bandaraya bermula hari ini.
Baginda bertitah, pemasyhuran ini menjadi detik bersejarah selepas hampir 40 tahun daerah Kuantan dinaiktaraf sebagai sebuah Majlis Perbandaran.
“Pemasyhuran Bandaraya Kuantan bukan sekadar pada nama. Dalam meniti hari-hari mendatang, kerajaan negeri Pahang dan Majlis Bandaraya Kuantan hendaklah menumpukan usaha meningkatkan perkhidmatan yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.
“Marilah kita sama-sama berdoa pada hari penuh bersejarah ini semoga Bandaraya Kuantan menjadi sebuah bandaraya unggul dan sentiasa di bawah perlindungan Allah,” titah baginda pada Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan dan Perasmian Kompleks Bandaraya Kuantan di sini, hari ini.
Yang turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Yang hadir sama pada majlis berkenaan ialah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Baginda turut mengisytiharkan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) kepada Majlis Bandaraya Kuantan berkuatkuasa hari ini dan memperkenan lantikan Yang Dipertua MPK, Datuk Hamdan Hussin sebagai Datuk Bandar pertama. -K! ONLINE.