PUTRAJAYA – Kes sembuh masih mengatasi kes baharu dengan 4,456 kes dilaporkan menjadikan sebanyak 249,209 kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 di Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu pula mencatatkan sebanyak 3,297 kes dengan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 sebanyak 283,569 kes.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, enam kes import mendapat jangkitan dari luar negara dan sebanyak 3,291 kes penularan tempatan.
“Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula merekodkan sebanyak 33,304 kes.
“Sebanyak lima kes kematian turut dilaporkan dan jumlah kes kematian Covid-19 di Malaysia mencatatkan 1,056 kes,” katanya dalam ciapan Twitter di sini hari ini.
Ujarnya, terdapat 209 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 91 kes memerlukan bantuan pernafasan. -K! ONLINE