fbpx

303 kebakaran dalam masa 20 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba memadamkan kebakaran lalang di kawasan Batu Kawan, Seberang Perai di Pulau Pinang baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Cuaca panas dan kering yang melanda negara sejak awal bulan ini mendedahkan risiko kebakaran besar di negeri ini membabitkan kawasan terbuka dan terpencil.

Mengikut rekod, hampir se­tiap hari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menerima laporan berhubung kejadian kebakaran lalang, hutan dan tapak pelupusan sampah sejak 4 Februari lalu.

Antara kejadian yang dilaporkan membabitkan hutan di atas bukit Tanjung Bungah seluas 7.3 hektar dan 1.6 hektar di atas bukit di Air Itam di sini.

Selain itu, tapak pelupusan sampah di Ampang Jajar, Permatang Pauh dan Nibong Tebal, Seberang Perai turut dilaporkan terbakar sejak beberapa hari lalu.

Kejadian sama melibatkan lalang dan belukar di kawasan Batu Kawan, Seberang Perai baru-baru ini selain kebakaran lalang seluas 0.8 hektar di sebuah tanah perkuburan di Jelutong.

SAADON

Mengulas mengenai kejadian kebakaran itu, Pengarah JBPM negeri, Saadon Mokhtar berkata, pihaknya menerima dua hingga tiga panggilan sehari berhubung kebakaran di kawasan terbuka sejak awal bulan ini yang berlaku disebabkan cuaca kering.

Sebanyak 303 kes dilaporkan dalam tempoh 20 hari bulan ini iaitu 138 kes kebakaran lalang dan belukar, kebun dan ladang (5), hutan (47), sampah (47) dan lain-lain (66).

Ia membabitkan kawasan seluas 825.9 hektar yang menyamai 2,040 padang bola sepak.

“Jumlah kebakaran bulan ini meningkat berbanding 120 kes sepanjang bulan lalu.

“Kita juga melihat trendnya menaik apabila semakin hari semakin kerap kejadian akibat cuaca panas dan kering dilapor­kan orang awam,” katanya kepada Kos­mo! Ahad di sini semalam.

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya sentiasa bersiap siaga menghadapi kemungkinan lebih banyak kebakaran di kawasan terbuka yang diramalkan melanda negeri ini sehingga awal Mei depan.

“JBPM Pulau Pinang mempu­nyai anggota yang mencukupi iaitu seramai 825 orang, namun bagi kawasan hutan dan bukit kita menghadapi kesukaran ke­rana tiada akses jalan.

“Pihak kami juga mengharap­kan kerjasama orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI