GEORGE TOWN – Sebanyak 16,000 dos vaksin Covid-19 selamat tiba di Kompleks Kargo Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) hari ini.
Vaksin Pfizer-BioNTech itu tiba dari Singapura dengan pesawat Boeing 747 Cargo Cathay Pacific CX-079 kira-kira pukul 5.30 petang.
Ketibaan tiga kotak peranti muatan unit (ULD) vaksin itu disambut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri, Dr. Norlela Ariffin dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Asmayani Khalib.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah membawa harapan ke arah pemulihan selepas rakyat terpaksa membayar harga tinggi dari aspek nyawa, sosial dan ekonomi sejak bermulanya wabak itu kira-kira setahun lalu.
“Harapan saya semoga program imunisasi massa ini akan berjaya dalam menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat dan saya menyeru seluruh penduduk Pulau Pinang menyokong dan memastikan program ini berjaya.
“Kerajaan negeri juga akan memaklumkan perkembangan dan maklumat penting berkenaan program pemberian vaksin ini kepada penduduk negeri ini dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, lebih 30,000 petugas barisan hadapan akan menerima suntikan vaksin fasa pertama di negeri ini. – K! ONLINE