Peralihan kenderaan konvensional berkuasa petrol dan diesel kepada elektrik sedang giat dilakukan.
Banyak negara, Barat terutamanya, meletakkan matlamat tahun 2030-2040 untuk mengharamkan jualan atau keberadaan kenderaan petrol serta diesel di jalan raya.
Malah, pengeluar kereta utama seperti Volvo juga menetapkan tarikh tersebut untuk hanya mengeluarkan kenderaan elektrik sepenuhnya atau hibrid.
Menurut sebuah laman web, bilangan kenderaan bahan bakar fosil di seluruh dunia pada masa ini adalah sekitar 1.6 bilion.
Berdasarkan matlamat Barat, jumlah kenderaan elektrik/hibrid akan ditingkatkan kepada 500 juta menjelang tarikh tersebut.
Pelan tersebut adalah komitmen kuasa-kuasa besar dalam merealisasikan transformasi kenderaan elektrik dan terbaharu, turut mendapat penyertaan Amerika Syarikat.
Mungkin ia petanda negara- negara pengeluar minyak dunia terutamanya Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) berdepan masa depan suram atau sebaliknya.
Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), sektor petroleum mempunyai lebih 60 juta pekerja di seluruh dunia sama ada penglibatan langsung ataupun kumpulan sokongan.
Peralihan kepada kenderaan elektrik dikatakan akan menjadi punca sektor tersebut teruk terjejas jika tidak gulung tikar
Pada hemat penulis, perkara tersebut tidak akan berlaku setidak- tidaknya pada abad ini.
Peralihan daripada kereta konvensional kepada elektrik tidak memberi kesan mendadak seperti peralihan mesin taip kepada komputer atau Kodak (filem) kepada kamera digital.
Pakar-pakar menjangkakan pengurangan lebih 10 juta tong minyak mentah sehari apabila transformasi itu berlaku.
Jumlah itu sedikit berbanding permintaan global 100 juta tong sehari sementelah masih banyak sektor perlukan bahan api fosil.
Antaranya kenderaan berat seperti treler, jentera berat, kenderaan tentera seperti kereta kebal, pesawat dan kapal.
Negara-negara kuasa besar juga dijangka tidak akan secara tiba-tiba ‘memiliki kesedaran sivik’ lalu mengumumkan akan mengeluarkan kereta kebal, kereta perisai dan jet pejuang berkuasa elektrik demi menjaga kelestarian alam sekitar.
Tidak terbayang bagaimana kapal perang atau kereta kebal terkandas di tengah laut atau medan tempur kerana kehabisan bateri dan perlu dicas semula.
Teknologi elektrik tidak efisien seperti bahan api konvensional walaupun terbukti lebih mesra alam.
Bahan api fosil seperti diesel masih mendapat permintaan tinggi untuk operasi loji jana kuasa elektrik yang membekalkan tenaga kepada kenderaan elektrik.
Ini kerana banyak negara masih keberatan untuk membina infrastruktur tenaga alternatif mesra alam seperti reaktor nuklear, kincir angin janakuasa solar dan lain-lain atas faktor kos dan kesukaran teknologi.