TURIN – Manchester United sudah sebelah kaki untuk melangkah ke peringkat seterusnya selepas membelasah Real Sociedad 4-0 pada aksi pertama pusingan 32 terbaik Liga Europa di Stadium Allianz awal pagi semalam.
Bruno Fernandes terus menjadi ‘arkitek’ kejayaan United selepas meledak dua gol dalam aksi itu, sementara dua lagi jaringan The Red Devils dijaringkan Marcus Rashford dan Daniel James.
Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer amat berbangga dengan prestasi dipamerkan barisan pemainnya selepas meraih keputusan tidak memberangsangkan dalam beberapa perlawanan terdahulu.
“Kami bermain dengan sangat baik dan menunjukkan penyudah yang sangat tajam di depan gol. Walaupun kami sepatutnya menang dengan jaringan lebih besar tetapi saya tetap gembira dengan keputusan ini.
“Perlawanan ini menjadi lebih terbuka selepas kami berjaya meraih gol kedua. Ia memberi kelebihan dan membuatkan pemain-pemain lebih tenang mencari ruang untuk melakukan serangan,” katanya.
Bagaimanapun, pengendali dari Norway itu enggan terlalu selesa dengan situasi semasa kerana mereka masih perlu mengharungi aksi timbal balik bertemu wakil Sepanyol tersebut di Stadium Old Trafford pada 26 Februari ini.
“Saya tidak mahu terlalu yakin memandangkan masih ada aksi timbal balik. Kami perlu beri fokus kepada satu demi satu perlawanan dengan bermain aksi Liga Perdana Inggeris terlebih dahulu sebelum melayan Sociedad di Old Trafford,” jelas Solskjaer. – AGENSI