fbpx

K2

Tawan siakap merah di Pulau Aman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PULAU Aman di Pulau Pinang menjadi destinasi yang menarik untuk kaki pancing selain aktiviti pelancongan, bagaimanapun kemeriahannya berkurangan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa.

BAGI seorang pegawai bank, Azizul Hashim, 55, memancing bukan sekadar hobi, tetapi menjadi aktiviti yang mampu menghilangkan lelah dan tekanan di tempat kerja.

Kata Azizul, keseronokan apabila mata kail disentap seterusnya menawan ikan sukar digambarkan kerana lebih kepada memberi kepuasan dalam diri.

“Lebih membuatkan kaki pancing teruja apabila ikan yang mahu dijinakkan itu ‘agresif’ dan akhirnya berjaya dinaikkan,” katanya baru-baru ini.

Menurutnya, bagi menikmati suasana dan perasaan itu, dia perlu menempuh perjalanan sejauh lebih 27 kilometer dari Kulim, Kedah ke Pulau Aman di Pulau Pinang.

 

AZIZUL menunjukkan ikan siakap merah yang berjaya dinaikkan ketika memancing di Pulau Aman.

“Saya perlu menaiki bot dari jeti di Batu Kawan dengan perjalanan kira-kira 10 minit sahaja. Kaki pancing boleh pergi waktu pagi dan balik pada sebelah petang atau tidur di situ.

“Orang ramai kini tidak perlu lagi menaiki bot ke kawasan keliling pulau kerana sudah ada beberapa calet yang terletak di persisiran pantai sebagai tempat memancing,” ujarnya.

Katanya, dia telah terlibat dalam aktiviti memancing di beberapa tempat di utara Semenanjung termasuk dengan bot.

“Namun sejak lebih lima tahun lalu, saya memilih untuk memancing di kawasan calet sahaja kerana lebih santai terutama jika bersama keluarga atau bersendirian. Pada pandangan saya, keterujaan sebenar tentu memancing di atas bot kerana lebih mencabar selain hasil tangkapan pelbagai spesies serta saiz,” jelasnya.

ANAK Azizul, Muhammad Aniq Danial Azizul, 14, menunjukkan ikan merah yang berjaya ditangkap.

 

Menurut Azizul, memancing di calet Pulau Aman sangat menyeronokkan kerana terdapat banyak ikan di situ.

“Jarak antara calet dengan pantai ialah kira-kira 500 meter dan di kawasan air yang agak dalam terdapat banyak spesies ikan mencari makanan.

“Antara ikan yang sering berjaya dinaikkan ialah ikan siakap merah dan jenahak yang mana setiap ekor kebiasaannya seberat satu kilogram hingga tiga kilogram,” katanya.

Katanya lagi, sejak memancing di Pulau Aman dia jarang pulang dengan tangan kosong dan biasanya akan membawa pulang hasil tangkapan seekor atau dua ekor ikan bersaiz besar.

“Umpan yang saya guna ialah umpan udang hidup yang boleh dibeli di jeti Batu Kawan atau di Pulau Aman.Umpan udang hidup menjadi pilihan berbanding penggunaan umpan tiruan, namun bergantung kepada keadaan air laut,” jelasnya.

 

HASIL tangkapan ikan disimpan di dalam bekas tong besar untuk dibawa pulang.

Ujarnya, apa yang lebih teruja apabila joran disentap ikan yang memerlukan kemahiran pengawalan mesin kekili agar ikan yang tersangkut pada mata kail tidak terlepas.

“Memancing juga dapat menambah kenalan serta dapat bertukar pandangan mengenai teknik memancing,” katanya.

Tambahnya, sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik Covid-19, dia terpaksa menangguhkan dahulu aktiviti tersebut buat sementara waktu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI