PENGUMUMAN oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung lanjutan tempoh jendela perpindahan Liga Malaysia (Liga M) mendapat pelbagai reaksi daripada pasukan-pasukan bertanding.
Kelmarin, MFL mengesahkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memaklumkan tempoh jendela perpindahan bagi saingan Liga M dilanjutkan hingga 5 Mac depan.
Sri Pahang FC merupakan salah sebuah pasukan yang bersetuju dengan keputusan tersebut kerana ia memberi peluang kepada mereka melakukan penilaian terbaik atas seseorang pemain.
Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, keputusan itu wajar memandangkan banyak proses perlu dilakukan berhubung pengambilan pemain baharu.
“Bagi saya, keputusan ini bukan sahaja beri kelebihan kepada Pahang, malah kepada pasukan lain juga kerana sebelum ini banyak perancangan terganggu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Tidak dinafikan ada juga pasukan tidak setuju dengan keputusan ini tetapi saya ucapkan terima kasih. Banyak yang perlu dipertimbangkan dalam urusan pengambilan pemain baharu,” kata beliau.
Pada masa sama, Mohammed Suffian juga percaya setiap pasukan memerlukan masa bagi membuat penilaian terhadap pemain-pemain yang berpotensi untuk dibawa masuk.
“Dalam tempoh sekarang, apabila seseorang pemain tiba, mereka perlu dikuarantin terlebih dahulu selain perlu melalui pelbagai proses sebelum dibenarkan berlatih.
“Selain itu, kita tidak boleh menilai seseorang pemain dalam tempoh singkat. Sekiranya dirasakan tidak sesuai, maka setiap pasukan masih ada masa untuk buat pertukaran,” ujarnya.
Sebelum ini, MFL memohon tempoh jendela perpindahan dilanjutkan selepas beberapa pasukan berdepan masalah dengan pemain import serta tempatan melakukan pendaftaran.