PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) lega selepas Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akhirnya bersetuju untuk menghantar gandingan atlet muda dan berpengalaman ke Sukan SEA Vietnam 2021 sekali gus menyelamatkan maruah pasukan negara daripada tercalar.
PSM sebelum ini mendakwa MOM berkeras untuk menghantar barisan pemain bawah 23 tahun (B-23) ke Vietnam dan ia dilihat satu malapetaka apabila mereka bakal kehilangan pingat.
Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail mengucapkan terima kasih kepada MOM selepas mengakui badan induk sukan negara itu membuat keputusan tepat sejurus mendengar rintihan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) yang dilihat masih belum bersedia menurunkan pemain B-23 ke temasya sukan dwitahunan tersebut.
“Kita ucapkan terima kasih kepada MOM atas keputusan dibuat. Meskipun ada yang mendakwa kita sengaja mencetuskan kekecohan tetapi ini sebenarnya untuk masa depan sukan negara kita.
“Gabungan pemain adalah pemilihan yang tetap kerana banyak kejohanan dibatalkan dan menyukarkan persatuan sukan untuk mengenal pemain
berpotensi untuk diangkat menjadi pemain utama.
“Saya sedikit lega dengan pengumuman MOM semalam dan PSM akan membariskan pemain muda dan berpengalaman ke temasya itu nanti. PSM akan menyenaraikan 50 peratus pemain muda dan 50 peratus lagi pemain berpengalaman.
“Dalam sukan sepak takraw, pemain berpengalaman penting untuk berada dalam skuad kerana ia akan memberi kekuatan dan keberanian selain membimbing pemain-pemain baharu yang pertama kali beraksi di pentas Sukan SEA,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Terdahulu, selepas tamatnya Sukan SEA Manila 2019, kerajaan memutuskan untuk menghantar barisan atlet bawah 23 tahun untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada atlet muda negara di Hanoi.