PETALING JAYA – Mengikut kelaziman, sambutan ulang tahun cahaya mata kembar pelakon, Datin Eina Azman disambut penuh meriah, namun situasinya berbeza pada waktu penularan wabak Covid-19 kini.
Eina atau pemilik nama penuh Ainur Syakina Azman, 26, berkata, sejajar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dia dan suami, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah memilih untuk menyambut majlis hari jadi pasangan kembar, Arianna Aubrey dan Karl Kareef dalam skala kecil.
“Saya bangun seawal pukul 8 pagi bagi menyediakan juadah sempena ulang tahun kelahiran Aubrey Karl. Saya juga membuat kek dan merakam video sendiri. Teruja rasanya, kerana Aubrey Karl sudah besar dan petah bercakap.
“Terasa seperti baru semalam bersalin, masa berlalu begitu cepat terutama apabila ada anak-anak kecil seperti mereka. Memandangkan keadaan tidak mengizinkan, tahun ini saya dan suami memilih untuk mengadakan parti hari jadi Aubrey Karl secara ringkas.
“Bukan apa, sekurang-kurangnya ada kenangan yang boleh diabadikan bersama. Majlis pun hanya dihadiri keluarga dan rakan terdekat untuk makan serta meluangkan masa bersama-sama,” katanya kepada Kosmo Online!
Eina dan Kaiser berkahwin pada 31 Ogos 2014. Mereka dikurniakan sepasang kembar Karl Kareef dan Arianna Aubrey kini berusia lima tahun.
Mengulas mengenai perancangan menambah cahaya mata, Eina menjelaskan belum puas melayan keletah anak kembarnya yang semakin membesar.
“Nanti dululah kerana saya seronok melayan perangai Aubrey Karl yang mempunyai karakter tersendiri. Aubrey sebagai kakak lebih dominan berbanding Karl yang seperti pak lawak dalam keluarga.
“Hebat sungguh kuasa Allah, Aubrey wajahnya mengikut rupa suami, namun karakternya seperti saya, manakala Karl ikut rupa saya, perangainya seperti suami,” kata Eina. – K! ONLINE