fbpx

Orang Asli sedia terima suntikan vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASYARAKAT Orang Asli di Gua Musang sedia terima suntikan vaksin Covid-19 yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

GUA MUSANG – Masyarakat Orang Asli di daerah ini bersedia menerima suntikan vaksin bagi mencegah wabak Covid-19 yang bakal dilakukan pihak kerajaan tidak lama lagi.

Mereka berharap kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) tidak terlepas pandang keperluan memberi suntikan vaksin kepada penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman.

Penghulu Kampung Sengsang, Pos Brooke Nasir Busu berkata, penduduk Orang Asli berharap pihak kerajaan memberi penerangan yang jelas berkenaan suntikan vaksin kepada mereka.

Katanya, mereka bersedia untuk bekerjasama bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.

“Bagi penduduk Orang Asli, kami menerima suntikan vaksin jika tiada kesan sampingan seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

“Benda baik kami akan terima. Jika tidak wabak ini akan merebak tanpa kesudahan dan tidak akan hilang,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Sementara itu, Penghulu Kampung Brooke Lama, Rian Bujang berkata, meskipun kawasan Orang Asli diklasifikasikan sebagai zon hijau kerana tiada jangkitan Covid-19, namun mereka tidak mahu ketinggalan menerima suntikan vaksin.

Katanya, mereka berada tidak selamat selepas melihat kes kematian akibat Covid-19 di negara ini tinggi setiap hari berbanding pada awal penularan wabak itu tahun lalu.

“Saya sebagai penghulu bimbang kerana di sini terutamanya di kawasan Tanah Tinggi Lojing banyak pekerja kebun warga asing keluar dan masuk kampung kami.

“Saranan kerajaan yang memberi kebaikan kepada masyarakat Orang Asli, pasti kami akan terima dengan hati yang terbuka,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata orang ramai boleh mendaftar bagi mendapatkan vaksin Covid-19 pada 1 Mac ini dengan lima kaedah pendaftaran.

Katanya, lima kaedah pendaftaran terbabit ditetapkan KKM bagi mempermudahkan orang ramai untuk mendaftar melalui pelbagai saluran. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI