SEPANG – Sebuah lot kedai di kawasan perindustrian Sepang di sini digempur Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam Ops Gasak kerana disyaki melakukan aktiviti pemindahan gas petroleum cecair bersubsidi ke silinder LPG industri.
Dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 malam semalam itu, tiga warga asing tanpa pengenalan diri terdiri dua warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh ditahan ketika sedang leka mengalihkan silinder LPG untuk proses pemindahan.
Pengarah Pejabat KPDNHEP Negeri Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, ketiga-tiga suspek berkenaan memaklumkan hanya pekerja di premis haram berkenaan yang beroperasi sejak dua bulan lalu.
“Berdasarkan siasatan ke atas suspek, gas petroleum cecair bersubsidi yang telah disalin kulitnya dipasarkan ke sekitar Lembah Klang iaitu ke kilang-kilang dan juga restoren makanan dan minuman dengan keuntungan berlipat ganda.
“Stor haram berkenaan dikatakan menerima anggaran sejumlah 900 silinder gas petroleum bersubsidi setiap bulan bagi tujuan pemindahan ke silinder industri,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan menemukan sejumlah 39 silinder gas petroleum cecair bersubsidi 14 kilogram (kg) yang berisi dan 95 silinder gas petroleum cecair bersubsidi 14kg yang tidak berisi selain 30 silinder gas petroleum cecair 50kg berisi serta 80 silinder gas petroleum cecair 50kg tidak berisi.
“Sebuah lori jenama Daihatsu yang digunakan untuk mengangkut gas petroleum cecair bersubsidi berkenaan turut disita.
“Selain itu, turut dirampas ialah peralatan pemindahan gas petroleum cecair seperti sambungan paip, penimbang digital dan ketulan-ketulan ais dengan nilai rampasan bagi kesemua barangan mencecah RM40,000,” katanya.
Menurutnya, dokumen kebenaran bagi merentas negeri bagi tujuan penghantaran LPG itu turut ditemui di lokasi kejadian
“Kita mengesyaki gas petroleum cecair bersubsidi ini dibekalkan oleh pembekal yang berpangkalan di Negeri Sembilan berdasarkan dokumen terbabit,” katanya.
Katanya, ketiga-tiga suspek berkenaan direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – K! ONLINE