PETALING JAYA – ‘Anda tidak rasa bersalah ke menipu pelanggan?, soal pelakon, Datin Elvina Mohamad kepada segelintir peniaga dalam talian yang menggunakan wajahnya bagi mempromosikan produk jualan mereka.
Elvina yang popular dengan drama Takdir Yang Tertulis memuat naik luahan tersebut menerusi InstaStorynya kelmarin.
Dia meluahkan rasa kesal berhubung tindakan peniaga yang menggunakan gambar perkahwinannya bagi tujuan menarik pelanggan membeli tudung bawal mereka.
“Saya tak faham dengan sesetengah peniaga dalam talian yang sesuka hati pakai gambar atau video orang lain tanpa kebenaran untuk mempromosi bisnes mereka.
“Tindakan ini menipu pelanggan mereka. Tak rasa bersalah ke?” luahnya.
Mengulas lanjut, Elvina yang merupakan isteri kepada usahawan dan selebriti sukan permotoran, Datuk Mohd. Haniff Borhan memberitahu, tindakan peniaga berkenaan telah menjejaskan periuk nasinya selepas beberapa pihak yang ingin menjalin kerjasama dengannya menarik diri.
“Sebagai figura awam, bila perkara ini berlaku, jujur cakap memang saya terkesan.
“Ada pihak (klien) yang berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan saya menarik diri kerana mereka fikir saya sudah lakukannya dengan jenama pesaing mereka.
“Ini kerana gambar dan video saya digunakan sesuka hati oleh sesetengah peniaga. Sedikit sebanyak mengganggu periuk nasi saya,” jelasnya.
Biarpun memahami situasi sekarang yang mendesak orang ramai untuk mencari duit, Elvina bagaimanapun berharap para peniaga, khususnya pengusaha butik dalam talian agar berniaga secara berhemah.
“Tolonglah berniaga dengan cara yang betul. Apa-apa pun, saya doa semua peniaga dalam talian dimurahkan rezeki,” katanya.