SEREMBAN – Tindakan Radio Hitz FM yang menggantung sementara tugas penyampai radio lelaki Hitz FM Sarawak berhubung perbuatannya mentertawakan seorang guru di saluran DidikTV merupakan tindakan tepat bagi mendidik masyarakat meletakkan guru di kedudukan selayaknya.
Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, tindakan tegas seumpama itu harus diambil dan setiap ibu bapa hendaklah mendidik anak bangsa agar sentiasa memberikan penghormatan buat guru.
Malah menurutnya, negara tidak akan membangun tanpa pengorbanan seorang guru.
“Islam melarang kita memperlekeh apatah lagi mempersendakan usaha murni seorang guru yang sedang mendidik anak bangsa.
“Rasulullah SAW menanamkan ke dalam jiwa para sahabat agar sentiasa memuliakan guru. Para sahabat Nabi dahulu sangat memuliakan guru mereka,” katanya dalam satu kenyataan di media Facebook rasminya, di sibi, tadi.
Ahmad mengulas demikian susulan laporan Kosmo online berkenaan Hitz FM menggantung sementara tugas penyampai radio lelaki Hitz FM Sarawak berhubung perbuatannya mentertawakan seorang guru di saluran DidikTV yang dikecam netizen hari ini.
Menurutnya, para sahabat tidak meninggikan suara di sisi guru dan mereka tidak menarik muka apabila berhadapan dengan guru.
“Jauh sekali untuk mereka memperlekehkan atau mentertawakan seorang guru.
“Begitu tinggi adab dan penghormatan yang diterapkan oleh Islam dalam menghormati guru,” kongsinya.
Terdahulu, gara-gara memuat naik video TikTok menggelakkan seorang guru bahasa Inggeris, penyampai radio tersebut menerima kecaman hebat daripada netizen.
Video memaparkan penyampai itu mentertawakan aksi seorang guru wanita yang sedang mengajar subjek Bahasa Inggeris untuk saluran DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disifatkan sebagai kurang ajar. – K! ONLNE