fbpx

Djokovic belum sedia serah takhta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DJOKOVIC akan meningkatkan usahanya untuk mempertahankan kejuaraan Grand Slam Terbuka Australia di pentas final Ahad ini.

MELBOURNE – Juara bertahan Terbuka Australia, Novak Djokovic menegaskan bahawa dia belum bersedia untuk melepaskan takhta Grand Slam kepada generasi baharu menjelang aksi final kesembilannya di Melbourne Park esok.

Jaguh No. 1 dunia itu berkata, masih banyak perkara perlu dilakukan untuk menghadapi perlawanan akhir nanti memandangkan dia dilihat masih belum berada pada tahap terbaik ketika menewaskan bintang Rusia, Aslan Karatsev dengan keputusan 6-3 6-4 6-2 kelmarin.

Djokovic, Rafael Nadal dan Roger Federer masih dianggap sebagai tiga pemain terbaik era ini meskipun Nadal dan Federer tidak bersaing pada final Terbuka Australia, namun jaguh Serbia itu tiada sebarang niat untuk melepaskan gelaran Grand Slam itu kepada Daniil Medvedev atau Stafanos Tsitsipas.

“Sudah tentunya mereka (Medvedev atau Tsitsipas) akan menjadi pemain hebat tenis pada masa depan, tanpa ragu-ragu, namun saya tidak akan berdiri di gelanggang dan menyerahkan trofi kepada mereka.

“Saya akan membuat mereka bekerja keras untuk mendapatkannya. Saya tetap menghormati kesemua lawan saya, tetapi mereka masih perlu melakukan banyak usaha bagi meraihnya,” kata Djokovic.

Batu penghalang kepada hasrat Djokovic mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia Ahad ini adalah pemenang satu lagi separuh akhir iaitu Medvedev.

Menjelang saingan final nanti, Djokovic akan mengkaji secara terperinci kekuatan permainan bintang tenis muda berkenaan.

“Medvedev adalah seorang pemain yang perlu dikalahkan. Dia berada pada tahap terbaik menerusi kemenangan besar yang diperolehnya.

“Dia menamatkan musim lalu dengan bergaya sekali. Maksud saya, menang dengan selesa ke atas pemain-pemain ternama, menewaskan saya sendiri dengan straight-set di London dan permainannya juga sudah meningkat banyak.

“Dia mempunyai pukulan servis hebat. Untuk lelaki tinggi sepertinya, dia bergerak dengan sangat baik. Mungkin teknik pukulan sanga depan merupakan kelemahannya, namun dia sudah memperbaikinya. Pukulan kilasnya juga sangat baik,” kata Djokovic. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI