MUAR- Seorang warga emas dan cucunya terbunuh selepas kenderaan jenis pacuan empat roda dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Bukit Pasir, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Khoo Chuan Peng, 67, dan cucunya, Koo Sin Ming, 17, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, kemalangan itu turut menyebabkan pemandu lori berusia 39 tahun cedera pada bahagian kepala dan kaki.
“Manakala empat mangsa yang menaiki kereta Proton Saga BLM berusia 32 hingga 66 tahun dilaporkan terselamat.
“Siasatan awal mendapati kenderaan Toyota Hilux dalam perjalanan dari arah Bukit Pasir menghala ke Pagoh dan dipercayai hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah lori,”katanya dalam satu kenyataan di sini.
Zaharudin berkata, pada masa yang sama kereta Proton Saga BLM berada di belakang lori tidak sempat mengelak lalu melanggar pemandu Toyota Hilux dan penumpangnya yang tercampak keluar.
Jelasnya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-K! ONLINE