BERUAS – Sejak kira-kira enam tahun lalu, Mainuah Awang, 72, tidak mampu berjalan dan mengharapkan bantuan anak serta cucunya untuk bergerak atau menguruskan dirinya.
Sejak tempoh itu juga, anak perempuan Mainuah, Zurini Hussin, 45, menggunakan ‘kerusi roda’ buatan sendiri untuk mengurus ibunya termasuk memandikan dan ke tandas.
Menurut Mainuah, ‘kerusi roda’ itu dicipta oleh seorang saudaranya dengan menggunakan kerusi plastik yang dilekatkan atas platform besi empat segi yang dipasang roda.
Zurini pula berkata, dia tidak mampu membeli kerusi roda atas faktor kemiskinan kerana hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM450 sebulan dan nafkah bulanan RM500 daripada bekas suami.
“Pendapatan sebanyak itu sebenarnya tidak mencukupi untuk menanggung kami tujuh sekeluarga iaitu saya, ibu dan lima anak berusia 5 hingga 18 tahun dengan empat daripadanya masih bersekolah.
“Syukur ada adik-beradik, saudara-mara yang membantu walaupun mereka sendiri pun bukanlah hidup senang,” jelasnya ketika ditemui selepas menerima bantuan keperluan makanan daripada Team Amal Kasih Masyarakat (TAKM) Perak di Kampung Nelayan Sungai Batu, Pantai Remis, dekat sini semalam.
Menurut Zurini, dia pernah memohon bantuan kerusi roda daripada beberapa pihak berkaitan tetapi tidak berjaya.
Katanya, dia juga terpaksa memapah ibunya apabila membawanya ke klinik ekoran tidak memiliki kerusi roda.
Beliau juga pernah memohon bantuan JKM untuk ibunya tetapi tidak lulus kerana peraturan agensi itu tidak membenarkan dua penerima bantuan dalam satu rumah.
Sementara itu, Pengerusi TAKM Perak, Zaimeer Azmi berkata, seramai 70 keluarga pelbagai latar belakang termasuk yang hidup daif, miskin dan mempunyai anggota keluarga sakit kronik, telah disantuni dan disumbangkan bantuan kotak barangan keperluan makanan.
Katanya, program dinamakan ‘Program Ziarah Kasih Masyarakat’ itu diadakan di kawasan kampung sekitar daerah Manjung khususnya Pantai Remis iaitu di Kampung Sungai Batu, Kampung Tebuk Yan, Kampung Semangat, Kampung Batu 10 dan di Teluk Senangin.
“Program ini anjuran TAKM Perak dengan kerjasama The Giving Bank (TGB), Food4All dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid al-Khairiah Masjid Kampung Sungai Batu berjaya memberi manfaat kepada 70 keluarga tersebut,” katanya.