KOTA KINABALU – UMNO akan terus memperjuangkan nasib rakyat Sabah walaupun sudah 30 tahun mengembangkan sayap ke negeri ini.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata beliau menegaskan parti berkenaan masih kukuh serta kekal relevan di negeri terbabit.
“Kita sudah membuktikan UMNO Sabah masih diterima rakyat negeri ini selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada Januari tahun lalu.
“Ia dikukuhkan lagi dengan kemenangan 14 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada bulan September tahun sama.
“Kejayaan ini sekali gus menepis tanggapan pihak lawan yang mendakwa UMNO semakin lemah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kenyataan berkenaan adalah sempena ulang tahun ke-30 UMNO Sabah yang disambut esok.
Bung Moktar menyatakan sewaktu awal kemasukan UMNO ke Sabah, ia dilihat sebagai harapan baharu menyatukan rakyat Sabah untuk mewujudkan kestabilan politik di negeri berkenaan selain membuka jalan bagi pembangunan dalam pelbagai aspek.
Bagaimanapun, beliau berkata, situasi berubah selepas kekalahan BN di tangan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang disokong beberapa pemimpin BN untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRU14.
“Tetapi kita tidak pernah mengalah dengan malahan terus berusaha meyakinkan akar umbi UMNO di Sabah bahawa parti ini mampu bangkit semula dengan sokongan ahli dan pemimpin yang masih setia.
“Buktinya kita dapat lihat kemenangan pada PRN16 yang lalu. Walaupun hanya tinggal seorang sahaja wakil rakyat UMNO dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ketika Warisan memerintah sebelum ini namun kemenangan berpihak kepada kita.
“Saya yakin sokongan rakyat dari akar umbi ke atas UMNO Sabah akan terus bertambah selepas ini dan memberi jaminan parti ini terus kekal dengan perjuangan berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya. -K! ONLINE