KOTA TINGGI – Cubaan 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia memasuki negara ini secara haram gagal selepas ditahan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam Op Benteng di sekitar kawasan Sungai Buntu, Pengerang di sini, Khamis lalu.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam satu kenyataan berkata, dalam operasi bermula pada pukul 10 pagi itu, PATI yang diberkas terdiri daripada 11 lelaki dan empat wanita berusia antara 17 hingga 55 tahun.
Menurut kenyataan itu, tangkapan dilakukan menerusi dua siri tangkapan berasing adalah hasil maklumat daripada anggota petugas Pos Pemerhati yang mengesan kelibat orang awam dipercayai PATI sedang berlari ke arah hutan.
“Pasukan kemudian telah mengatur gerak Tim Quick Reaction Force (QRF) bersama Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) ke lokasi untuk membuat penjejakan serta pengepungan di sekitar kawasan Kampung Nelayan hingga ke belukar tepi pantai Sungai Buntu.
“Hasil serbuan pertama pada pukul 10 pagi 12 PATI ditahan sebelum tiga lagi yang sedang bersembunyi di kawasan berhampiran berjaya ditangkap,” katanya.
Markas 3 Div berkata, kesemua PATI itu baru tiba dipercayai menaiki bot pancung sebelum mendarat di kawasan berkenaan secara haram.
Jelasnya, pasukan operasi turut berjaya merampas mata wang berjumlah RM21,568.96 terdiri daripada Ringgit Malaysia dan Rupiah selain telefon bimbit serta barang kemas.
“PATI telah dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.
“Manakala, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai, Kota Tinggi,”katanya.
Menurut Markas 3 Div, pihaknya telah mengatur gerak Tim QRF untuk meneruskan penjejakan bagi mencari saki-baki PATI di kawasan tersebut.-K! ONLINE