PETALING JAYA- Polis Subang Jaya menafikan dakwaan seorang pengguna Facebook yang mendakwa membayar polis setiap bulan untuk tidak mengganggunya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, hasil siasatan mendapati akaun Facebook tersebut didaftarkan atas nama seorang wanita Indonesia, Maghifirotul Fitriyah.
“Temubual bersama penama mendapati gambarnya telah disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam Facebook yang bukan miliknya.
“Penama Maghifirotul Fitriyah telah membuat laporan polis pada 17 Februari lalu membuat satu laporan polis bagi menafikan kenyataan yang dibuat didalam laman Facebook dan juga ada pihak tertentu yang menyalahgunakan gambar beliau bertujuan untuk memburuk-burukkan serta menjatuhkan imej PDRM khususnya dan khasnya Balai Polis Bandar Sunway,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Abd. Khalid, pihaknya tidak berkompromi dengan sesiapa yang tidak bertanggungjawab bagi memburukkan dan mencemarkan imej polis.
“Tidak salah dalam keprihatinan masyarakat terhadap PDRM tetapi biarlah kenyataan yang dikeluarkan boleh memberi manfaat bersama,” ujarnya. – K! ONLINE