PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menetapkan Taska Genius Perpaduan di negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan beroperasi bermula Isnin ini.
KPN menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, kebenaran pengoperasian itu selaras dengan apa yang diputuskan dalam sidang akhbar Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 16 Februari lalu.
Bagaimanapun, katanya, operasi Taska Genius Perpaduan di negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih tidak boleh beroperasi secara fizikal sehingga tempoh PKP berakhir.
“Sepanjang tempoh tersebut, pendidik akan terus melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian pendidik dan kanak-kanak,” katanya.
Katanya, kementerian akan memastikan pengoperasian ke atas semua Taska Genius Perpaduan adalah tertakluk kepada pematuhan Garis Panduan Pencegahan Penularan Covid-19 Pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bagi Keselamatan Warga Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska).
Jelasnya lagi, ia juga tertakluk kepada Panduan Pembukaan Taska Genius Perpaduan dan Garis Panduan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Garis Panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Dalam pada itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique turut mengingatkan semua pendidik agar sentiasa memastikan anak-anak di Taska Genius Perpaduan menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka, menjagapenjarakan fizikal.
Menurut Halimah, ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak-anak mereka ke Taska Genius Perpaduan juga perlu mematuhi protokol kesihatan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh MKN dan KKM serta arahan kerajaan negeri yang berkaitan sepanjang tempoh operasi ini. – K! ONLINE