LONDON – Tottenham Hotspur akhirnya meletakkan tanda harga buat penyerang mereka, Harry Kane di mana pasukan yang beminat untuk mendapatkan khidmatnya perlu menyiapkan dana sebanyak £150 juta (RM838.82 juta).
Kane, 27, ketika ini berada di puncak prestasi dalam kariernya apabila berjaya meledak 21 gol musim ini dalam semua kejohanan dan dua pasukan dari Manchester dilaporkan sedang memantau secara dekat perkembangannya.
Pengerusi Spurs, Danial Levy dilaporkan hanya akan memulakan rundingan sekiranya pasukan yang berminat memulakan bidaan dengan jumlah berkenaan.
Sekiranya perpindahan Kane menjadi kenyataan dengan nilai berkenaan, dia bakal menjadi pemain ketiga termahal di dunia selepas dua penggempur Paris Saint-Germain, Neymar dan Kylian Mbappe.
Kane memiliki kontrak sehingga 2024 dengan meraih pendapatan mingguan sebanyak £200,000 (RM1.1 juta) dan nilai gaji berkenaan tidak sulit untuk dilunaskan oleh City atau United.
Sebelum ini, Spurs dilaporkan mempertahankan prinsip mereka untuk tidak menjual Kane, namun tekanan kewangan ekoran pandemik Covid-19 mungkin menyebabkan mereka terpaksa mengubah pendirian tersebut.
City ketika ini sedang mencari pengganti kepada Sergio Aguero yang sering dilanda masalah kecederaan.
Selain itu, United pula mahu memantapkan lagi jentera serangan bagi membentuk rangkaian bersama Marcus Rashford, Mason Greenwood dan Anthony Martial.
Nilai £150 juta itu bakal memecahkan rekod perpindahan pemain Britain selepas Gareth Bale melakukannya dengan nilai £85 juta (RM475.33 juta) ketika berhijrah ke Real Madrid.
Selain itu, Spurs bakal memintas Liverpool dalam urusan perpindahan pemain melibatkan nilai terbesar ketika Philippe Coutinho menyertai Barcelona dengan harga £142 juta (RM794.08 juta) pada 2018. – AGENSI