PANDEMIK Covid-19 ternyata memberi kesan mendalam kepada sukan ragbi berikutan tiada sebarang kejohanan dapat diadakan dan kini lebih setahun mereka menahan jiwa serta raga untuk turun semula mengadili perlawanan.
Pengadil ragbi kebangsaan, Nik Ramadan Nik Abdullah mengakui sangat terkesan dengan pandemik Covid-19 selepas melihat kejohanan terpaksa dibatalkan hingga menjejaskan perancangan pasukan serta atlet yang melakukan persiapan ke pentas antarabangsa.
Nik Ramadan yang turut bertugas sebagai seorang guru di sebuah sekolah rendah kebangsaan di Cheras, Selangor itu mengakui kali terakhir dia mengadili kejohanan pada Mac tahun lalu.
Sejak itu katanya, tiada sebarang kejohanan dibenarkan berikutan pandemik Covid-19 semakin teruk melanda seluruh negara.
Ketika ditanya sama ada dia merindui untuk turun semula ke padang, pengadil berusia 40 tahun itu menegaskan, jiwa sebagai pengadil ragbi dan peminat sukan tersebut tidak pernah padam, malah semangatnya masih berkobar-kobar untuk menunggu berita baik agar sukan berkenaan dapat kembali dianjurkan.
“Kali terakhir saya mengadili perlawanan adalah ketika Kejohanan Ragbi MCKK pada Mac tahun lalu.
“Sudah pasti saya merindui padang tetapi kita kena akur selagi pandemik ini masih ada, selagi itulah sukar untuk menganjurkan sukan ini.
“Bukan saya sahaja yang terkesan, malah para atlet kebangsaan yang melakukan persiapan ke Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2021 juga berdepan masalah sama.
“Kira-kira setahun juga wisel saya tergantung dan saya yakin sekiranya keadaan masih lagi teruk, kemungkinan tiada kejohanan dalam negara sehingga tahun depan, namun ia bergantung kepada vaksin yang kita akan terima nanti,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Dalam pada itu, Nik Ramadan yang pernah menerima Anugerah Pengadil Terbaik Malaysia pada tahun 2015 dan 2019 itu mengakui rata-rata pengadil ragbi di Malaysia sekadar separuh masa dan bukannya bekerja secara sepenuh masa.
“Kira-kira 100 pengadil yang berdaftar di Malaysia ini kesemua adalah pengadil separuh masa. Mereka menjadi pengadil atas faktor minat mendalam terhadap sukan ini.
“Saya berminat dalam sukan rabgi sejak kecil lagi dan ketiadaan sukan ragbi memang memberi kesan kepada semua termasuk persatuan mahupun pemain.
“Saya harap keadaan di Malaysia bertambah baik dan kejohanan ragbi dapat diadakan semula,” ujarnya.