PUTRAJAYA – Nasib anggota bomba dan penyelamat yang terbabit yang terjejas akibat bencana banjir di Pantai Timur baru-baru ini mendapat perhatian Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
Seramai 67 anggota bomba dan penyelamat yang terbabit dalam bencana banjir itu masing-masing menerima sumbangan wang tunai RM500 setiap seorang.
Majlis simbolik penyerahan sumbangan itu disempurnakan Ketua Pengawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff kepada Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sini, hari ini.
Menerusi kenyataan dikongsi di laman Facebook, PPZ-MAIWP berkata, setiap anggota yang terjejas akan menerima manfaat wang tunai sebanyak RM500 seorang.
“Ia membabitkan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM33,500.
“Pada pertemuan itu, beberapa perkara telah dibincangkan oleh pihak JBPM dan PPZ-MAIWP dalam memudahkan urusan untuk menjalankan misi bantuan kemanusiaan pada masa hadapan.
“Semoga bantuan yang disampaikan ini dapat memberikan sinar baru dan dalam pada masa yang sama mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh mereka sekeluarga,” katanya. – K! ONLINE