PETALING JAYA – Hitz FM menggantung sementara tugas penyampai radio lelaki Hitz FM Sarawak berhubung perbuatannya mentertawakan seorang guru di saluran DidikTV yang dikecam netizen hari ini.
Hitz FM dalam satu hantaran di laman Facebooknya memaklumkan pihaknya mengambil serius akan tindakan penyampai radio berkenaan.
“Hitz komited untuk menghiburkan dan menyampaikan maklumat kepada rakyat Malaysia, dan dengan ikhlas memohon maaf atas kertelanjuran penyampai tersebut.
“Kami ambil serius perkara ini dan akan menjalankan siasatan dalaman berhubung perkara ini. Buat masa ini, penyampai tersebut akan digantung tugas,” jelasnya.
Terdahulu, gara-gara memuat naik video TikTok menggelakkan seorang guru bahasa Inggeris, penyampai radio tersebut menerima kecaman hebat daripada netizen.
Video memaparkan penyampai itu mentertawakan aksi seorang guru wanita yang sedang mengajar subjek Bahasa Inggeris untuk saluran DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disifatkan sebagai kurang ajar. – K! ONLINE