fbpx

Penghantar makanan Food Panda maut terbabas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jasad Muhamad Haiqal yang meninggal dunia dalam kejadian kemalangan di Nilai malam semalam ditutup dengan kain putih oleh orang awam.- Gambar media sosial

SEREMBAN – Seorang penghantar makanan Food Panda maut selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tembok dalam kejadian di Bulatan Perbandaran (berdekatan Balai Bomba Nilai), Nilai dekat sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab Rahman berkata, dalam kejadian pukul 9.10 malam itu, mangsa, Muhamad Haiqal Faiz Shaffre, 19, mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal di tempat kejadian telah dijalankan mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dari arah Bandar Baru Nilai menuju ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), sampai di tempat kejadian telah hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tembok bahagian tengah bulatan dan jatuh di atas jalan.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan dan mayat dibawa ke Unit Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Fazley lagi, siasatan lanjut masih dijalankan oleh pihak polis mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kemalangan maut semalam merupakan kejadian kedua berturut-turut melibatkan penghantar makanan Food Panda selepas seorang penghantar makanan syarikat yang sama meninggal dunia selepas dilanggar sebuah kereta dipandu warga emas dalam kejadian di simpang tiga, Jalan AST 6, dekat sini malam kelmarin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI