MELBOURNE – Pemain No. 3 dunia dari Jepun, Naomi Osaka meranapkan impian jaguh tenis veteran, Serena Williams untuk menjulang trofi Grand Slam ke-24 peribadinya selepas meraih kemenangan straight-set 6-3, 6-4 dalam aksi separuh akhir Terbuka Australia semalam.
Pada aksi di Arena Rod Laver itu, Osaka yang berusia 24 tahun berjaya mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk menyingkirkan Serena yang juga bekas juara Terbuka Australia sebanyak tujuh kali itu dalam tempoh 75 minit.
Kata Osaka, aksi yang dipamerkan masih belum sempurna tetapi mengakui peluangnya untuk menjuarai Terbuka Australia untuk kali kedua dalam karier sejak edisi 2019 agak cerah berdasarkan momentum sepanjang mengharungi kejohanan ini.
“Saya tidak beraksi dengan baik kerana melakukan banyak kesilapan mudah terutama pada set pertama. Malah, saya harus akui bahawa perasaan gemuruh setiap kali bertemu dengan Serena masih ada dan itulah yang berlaku kerana dia sememangnya idola saya sejak kecil.
“Namun, saya gembira akhirnya dapat melakar kemenangan pada perlawanan ini dan pujian juga wajar diberikan kepada Serena kerana tidak berhenti daripada memberikan tentangan sengit sehingga ke mata terakhir,” katanya.
Sementara itu, Serena yang berjaya meraih 23 gelaran Grand Slam dalam kariernya terpaksa menunggu lagi pada kejohanan seterusnya dalam misi menyamakan kedudukan bersama legenda tenis Australia, Margaret Court yang unggul dengan 24 trofi Grand Slam.
“Saya telah membuka ruang dan peluang buat Osaka mendominasi saingan dengan beberapa kesilapan yang dilakukan sepanjang perlawanan ini. Justeru, saya terima keputusan ini dengan tangan terbuka dan akan berusaha lagi selepas ini,” kata Serena yang kini berusia 40 tahun. – AGENSI