fbpx

Netizen kecam tindakan racun 7 ekor anjing liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa ekor anjing ditemui dalam keadaan bergelimpangan dengan mulut berbuih hari ini dipercayai akibat diracun di Taman Medan Petaling Jaya.

PETALING JAYA – Penduduk di sebuah taman perumahan di Taman Medan di sini dikejutkan dengan penemuan tujuh bangkai anjing liar dalam keadaan mulut berbuih dipercayai akibat diracun pagi tadi.

Persatuan Haiwan Malaysia menerusi satu kenyataan di Facebook berkata, kesemua anjing yang ditemui mati itu adalah anjing liar yang sering berlegar di kawasan tersebut untuk meminta makanan.

“Adalah diakui bahawa terdapat golongan yang tidak selesa dengan anjing jalanan. Namun mematikan anjing jalanan secara membunuh begini merupakan hal yang diluar sifat kemanusiaan.

“Sekiranya anjing jalanan ini dianggap ancaman, penduduk tiada hak mengambil tindakan membunuh secara bersendiri. Libatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk tangkapan secara berkaedah dan berperikemanusiaan yang ditetapkan dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976,” kata kenyataan itu hari ini.

Jelasnya, menerusi aktiviti tangkapan oleh PBT, ia memberi ruang kepada anjing liar mendapat pembelaan untuk dituntut oleh mana-mana penanggungjawab yang mahu mengambil tugas memeliharanya.

“Kami kini dalam usaha untuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pelaku yang melakukan kerja meracun untuk membunuh anjing-anjing di Taman Medan ini dan ia akan disiarkan sekiranya dirasakan bersesuaian sebagai pengajaran kepada semua.

“Manakala jika cukup bukti dan terlihat pelaku, kes akan dirujuk pihak berkuasa kerana sengaja membunuh dan mendatangkan sengsara kepada anjing jalanan mengikut peruntukkan undang-undang haiwan sedia ada,” tegasnya.

Sementara itu, rata-rata pengguna Facebook mengecam tindakan kejam yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan itu.

Seorang pengguna Facebook dengan nama Ryna Purple mengecam tindakan meracun anjing liar itu dan berharap individu yang melakukannya mendapat pembalasan.

“Sombong betul perangai, dunia ini luas dan tidak akan miskin pun jika sedekah sedikit makanan untuk haiwan jalanan ini.

“Tunggulah pembalasan tuhan untuk orang yang sombong, kejam dan kedekut macam ini,” luahnya.

Terdahulu, Persatuan Haiwan Malaysia telah memuat naik beberapa keping gambar memaparkan sebanyak tujuh ekor anjing bergelimpangan dalam keadaan mulut berbuih dipercayai akibat diracun oleh individu tidak bertanggungjawab.

Setakat pukul 3 petang tadi hantaran berkenaan telah dikongsi sebanyak 277 kali dan mendapat 365 komen daripada netizen. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI