PETALING JAYA – Baru beberapa hari DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersiaran, pelbagai reaksi negatif dilemparkan terhadap saluran tersebut terutama berhubung cara penyampaian para guru dalam beberapa slot pengajaran.
Tidak mengkritik, selebriti terkenal, Neelofa, 32, sebaliknya tampil melahirkan rasa hormat terhadap golongan pendidik khususnya para guru yang berani berada di hadapan kamera untuk mendidik para pelajar.
Menurut Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, tugas tersebut bukanlan perkara mudah untuk dilakukan oleh para guru.
“Saya meletakkan setinggi-tinggi rasa hormat kepada semua guru yang membuang rasa takut dan keluar daripada zon selesa mereka serta tampil di hadapan kamera untuk terus mendidik.
“Perkara itu bukanlah tugas yang mudah kerana golongan profesional juga turut gemuruh untuk melakukannya,” katanya dalam satu ciapan di Twitternya hari ini.
Dalam pada itu, bekas pengacara MeleTOP itu juga menasihatkan orang ramai khususnya netizen agar berhenti mengkritik cara penyampaian mereka.
“Daripada terus mengkritik, marilah kita beri galakkan dan kata-kata semangat buat mereka,” katanya lagi.
Hasil tinjauan dalam Twitter, terdapat segelintir netizen bertindak menghentam cara penyampaian seorang guru yang mengajar subjek Bahasa Inggeris murid tahun dua.
Menurut mereka, guru tersebut tidak layak untuk mengajar kerana cara penyampaian yang sangat teruk. – K! ONLINE