GOMBAK – Tindakan nekad seorang lelaki yang cuba membunuh diri dengan terjun dari ketinggan 100 meter berjaya dihalang dengan bantuan bekas isterinya dalam satu kejadian di Jalan Pintas Rawang (Rawang Bypass) di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian daripada orang awam kira-kira pukul 1.30 petang sebelum bergegas ke lokasi.
“Sepasukan polis dari Balai Polis Rawang dan Unit Kereta Peronda (MPV) telah dikejarkan ke lokasi dan mendapati lelaki berkenaan sedang berdiri di atas pembahagi jalan sambil berpaut pada tiang lampu jalan di atas jambatan itu.
“Pihak polis dan anggota bomba yang turut berada di lokasi berusaha memujuk lelaki tersebut namun dia enggan dan mengugut akan terjun,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Arifai, ketika dalam proses memujuk itu, telah datang seorang wanita berusia dalam lingkungan 50 tahun yang mendakwa sebagai bekas isteri lelaki berkenaan dan turut membantu memujuk lelaki tersebut agar tidak terjun.
“Lelaki berusia 50 tahun tersebut akhirnya membatalkan niat untuk terjun selepas berjaya dipujuk oleh wanita berkenaan dan dia kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut.
“Siasatan mendapati, lelaki berkenaan bertindak demikian kerana menghadapi krisis rumah tangga dengan bekas isterinya itu yang telah bercerai pada 12 Januari lalu dan dia sedang dalam usaha untuk memujuk wanita berkenaan agar rujuk semula,” jelasnya.
Tambah beliau, lelaki tersebut akan ditahan reman esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, gambar lelaki berkenaan yang berpaut pada tiang lampu di Rawang Bypass tular di laman sosial Facebook sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen. -K! ONLINE