AGAK lama menyepi selepas bertudung sekitar Jun tahun lalu, pelakon dan penyanyi, Kilafairy bakal membuat kemunculan terkini menerusi sebuah lagu baharu yang berjudul Ratu.
“Lagu tersebut berkonsep pop.Namun, tajuknya belum diputuskan lagi buat masa ini dan masih dalam fasa perbincangan. Semuanya diuruskan oleh pengurusan saya iaitu Paranormal Records. Setakat ini saya sudah mempunyai tiga single dan selebihnya merupakan kolaborasi dengan penyanyi lain,” katanya.
Mendekati pemilik nama lengkap Syakila Nisa Jahangir Khan itu, tidak sah jika soal hatinya tidak diselami lebih dalam. Apatah lagi dia sendiri mengakui hatinya kini sedang dihuni lelaki yang disifatkan sejiwa dengannya.
Menurutnya, dia lebih selesa menyerahkan soal kahwin kepada pihak lelaki dan enggan terlalu terbuka berkongsi mengenai perancangan hari bahagia mereka.
Hal ini kerana, pelakon itu bimbang sekiranya perancangannya gagal dicapai atau tidak menjadi seperti diharapkan.
“Hal begini saya serahkan kepada pihak lelaki. Takut nanti kalau kita yang sibuk merancang, alih-alih ia tak menjadi pula.
“Saya pun tidak tahu mengenai soal tarikh dan lebih suka ikut arus,” katanya yang sudah 10 tahun mengenali kekasih hatinya.
Maju setapak
Selepas melancarkan jenama suplemen kesihatan KilaFit beberapa tahun lalu, perjalanan bisnes Kilafairy maju setapak lagi ke hadapan apabila menjalin kerjasama dengan produk kecantikan, UFORA.
Katanya, dia bukanlah seorang yang mudah menjalin kerjasama dengan mana-mana produk keluaran tempatan terutama berasaskan solekan seperti lipstik dan blusher.
Namun, hatinya tertarik untuk menerima lamaran selepas mencuba untuk melihat keberkesanan dan keserasian.
“Ini bukan soal bayaran. Sebab saya tidak boleh bertindak semudah itu untuk berkata ya. Tetapi apabila mencuba produk ini, saya sendiri menyukainya
Cakna dengan situasi semasa apabila melihat ramai yang terkesan gara-gara pandemik Covid-19, sebagai seorang selebriti, Kilafairy turut memainkan peranan dalam usaha membantu golongan yang memerlukan.
Hal tersebut mencetuskan idea antara dia dengan pengasas UFORA, Supia Saupi, 28, untuk memperkenalkan Skim Dropship Tanpa Modal.
“Kami mahu ajak khalayak berniaga tanpa modal. Maksudnya mereka boleh menjalankan berniaga tanpa perlu keluarkan duit.
“Tidak kira jantina semuanya boleh turut serta. Sesiapa yang berangan nak berniaga tetapi tiada duit atau modal, inilah jalan terbaik untuk merealisasikan impian itu.
“Kami amat menggalakkan penyertaan mereka dan pada masa sama berhasrat mahu membantu. Saya sendiri begitu bersimpati dengan mereka yang hilang pekerjaan atau dipotong gaji ketika pandemik Covid-19 melanda,” jelasnya.
Tambahnya lagi, UFORA menggunakan namanya untuk membantu golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Untuk permulaan, kerjasama kami akan berjalan dalam tempoh dua bulan. Buat masa ini, kami mahu lihat potensi pasaran terlebih dahulu.
“Bagaimanapun, saya difahamkan mereka berminat untuk menyambung kontrak untuk tempoh tertentu. Apapun saya sebagai orang yang bekerja secara profesional akan melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Saya pun nak bantu UFORA dan orang-orang di luar sana menjana pendapatan lebih-lebih pada waktu sukar begini,” jelasnya lagi.
Baginya, apa yang dia boleh buat ialah bawa produk tersebut ke depan agar orang cuba dan membelinya.
“Jadi mereka yang berniaga akan dapat jual produk dengan mudah dan mendatangkan keuntungan,” kata Kilafairy menutup bicara.