MELBOURNE, Florida – Seorang lelaki di Amerika Syarikat (AS) terkejut apabila menangkap seekor ikan yang mempunyai barisan gigi menyerupai gigi manusia, lapor akhbar Daily Star semalam.
Paul Lore, 33, berkata, dia sedang memancing dekat bandar Melbourne, Florida apabila seekor ikan jenis sheepshead dan memiliki corak belang pada badan memakan umpannya. Australia turut mempunyai bandar raya bernama Melbourne.
Lore sempat merakam foto gigi ikan itu sebelum melepaskannya kembali ke dalam air, lapor portal LadBible.
“Ikan itu mempunyai corak belang hitam putih seperti kuda belang dan badannya seperti ikan siakap yang padat serta gemuk.
“Giginya kelihatan seperti gigi manusia tetapi jika diperhatikan lebih lama, ia juga menyerupai gigi ikan yu,” katanya.
Ikan sheepshead memiliki set gigi yang tajam untuk mengunyah makanan seperti kerang, udang dan ketam.
Jika sheepshead dijadikan hidangan, rasanya dikatakan seperti isi ketam kerana gemar memburu ketam untuk dijadikan makanannya. – Agensi