fbpx

Harimau Malaya masih ada masa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKSI kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang ditunda ke Jun memberi kelegaan buat barisan pemain Harimau Malaya ketika ini kerana masih lagi bergelut dengan kecergasan.

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe akhirnya menarik nafas lega selepas sai­ngan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ditunda ke Jun dengan format secara karnival.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah mengesahkan aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang sepatutnya dilangsungkan Mac depan ditunda ekoran pandemik Covid-19.

Berdasarkan laporan tersebut, kesemua wakil Kumpulan G termasuk Malaysia bersetuju dengan cadangan untuk menamatkan baki perlawanan secara karnival dengan status tuan rumah akan diumumkan kemudian.

Kata Cheng Hoe, keputusan itu sememangnya memberi ke­legaan buatnya memandangkan barisan pemain Harimau Malaya ketika ini masih lagi bergelut de­ngan kecergasan memandangkan sesi latihan intensif Liga Malaysia (Liga M) baru sahaja bersambung.

“Seperti yang saya kata sebelum ini, kami memang mengharapkan agar saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ditunda memandangkan pasukan masih belum berada dalam persiapan terbaik untuk bersaing secara kompetitif.

“Justeru, keputusan AFC itu sememangnya memberi ke­legaan buat saya kerana selepas ini kami boleh melakukan persiapan rapi untuk mengharungi tiga perlawanan penting pada Jun depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe turut mengesahkan bahawa kem latihan pusat skuad Harimau Malaya akan tetap dilakukan pada Mac depan seiring dengan kalendar aksi antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Pemain sudah lebih setahun tidak dikumpulkan bersama dan perancangan untuk mengadakan kem latihan pusat pada Mac akan diteruskan.

“Meskipun saingan Liga M baru bermula (5 Mac), saya rasa pasukan tidak akan mempunyai masalah untuk melepaskan pemain kerana tarikh yang kita akan panggil itu termaktub dalam kalendar FIFA,” kata Cheng Hoe.

Skuad negara ketika ini menduduki tangga kedua Kumpulan G yang turut dihuni oleh negara Vietnam, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Thailand dan Indonesia selepas mengutip sembilan mata daripada lima perlawanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI