PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berbincang mengenai inisiatif keperluan vaksin Covid-19 buat sukan bola sepak bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melakukan kunjungan hormat semalam.
Pada pertemuan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya itu, Hamidin turut memberi maklumat mengenai status dan jadual skuad kebangsaan serta persiapan Liga Malaysia (Liga M) bermula Mac ini kepada Perdana Menteri.
Hamidin berkata, kesudian Muhyiddin meluangkan masa membincangkan beberapa agenda penting dalam menentukan masa depan bola sepak negara di tengah-tengah penularan pandemik Covid-19 sangat dihargai.
“Kami telah membentangkan dengan lebih terperinci mengenai status terkini pasukan kebangsaan serta kalendar perlawanan Harimau Malaya untuk musim 2021.
“Kami turut bentangkan mengenai status Liga M berlandaskan prosedur operasi standard (SOP) susulan pandemik Covid-19. Kami juga membincangkan inisiatif keperluan vaksin bagi memudahkan keluarga bola sepak tempatan meneruskan saingan Liga M musim ini di sebalik kebimbangan terhadap jumlah kes positif Covid-19,” kata Hamidin.
Hamidin turut diiringi delegasi FAM iaitu Naib Presiden FAM merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab. Ghani Hassan serta Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.
“Delegasi ini memaklumkan mengenai perkembangan terkini projek pembinaan ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan (NTC) di Putrajaya.
“Selain itu, kaedah menangani cabaran buat pengendali kemudahan sukan bola sepak dan futsal yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut dibincangkan,” kata FAM dalam satu kenyataan.
Muhyiddin turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Hamidin selepas meraih kemenangan tanpa bertanding dalam mengekalkan kerusi selaku Presiden FAM untuk penggal 2021-2025.