PETALING JAYA – Gara-gara memuat naik video TikTok menggelakkan seorang guru bahasa Inggeris, seorang penyampai radio Hitz FM Sarawak menerima kecaman hebat daripada netizen hari ini.
Video memaparkan penyampai itu mentertawakan aksi seorang guru wanita yang sedang mengajar subjek Bahasa Inggeris untuk saluran DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disifatkan sebagai kurang ajar.
Rata-rata netizen tidak bersetuju dengan aksinya kerana berpendapat ada cara lain untuk menegur atau memperbaiki teknik pengajaran guru berkenaan.
“Hitz FM, adakah ini seorang penyampai awak? Sepatutnya memberi pendapat untuk penambahbaikan dan bukannya gelakkan dengan cara begitu.
“Apa yang dia lakukan adalah salah dan memberi contoh yang tidak baik terhadap organisasi anda,” tulis seorang netizen @danielhvqeem.
Sehingga kini, masih tiada kenyataan rasmi atau permohonan maaf daripada individu tersebut atau Hitz FM.
Difahamkan, video yang ditertawakan DJ berkenaan ialah slot sesi pembelajaran subjek bahasa Inggeris untuk murid tahun dua.
Dalam pada itu, netizen juga menggesa KPM memberi kursus penyiaran terhadap golongan pendidik yang bertugas untuk saluran tersebut agar perkara sama tidak berulang. – K! ONLINE