PETALING JAYA – Jenama motosikal tempatan, Aveta memperkenalkan model motosikal bersifat mampu milik bagi memenuhi permintaan pasaran domestik dalam suasana ekonomi mencabar kini.
Terbaharu, syarikat pengeluarnya, Aveta Global Marketing Sdn. Bhd. melancarkan model VS110 yang berharga RM3,588 di atas jalan, termasuk insurans.
Model berkenaan dikuasakan dengan enjin sejukan udara empat lejang satu silinder berkuasa maksimum 6.5 kuasa kuda pada 8,000rpm dan tork maksimum 6.8Nm pada 6,000rpm yang dipadankan bersama transmisi empat kelajuan.
Berat motosikal ini hanya 83 kilogram dan kapasiti tangki minyak pula adalah empat liter.
Aveta dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini berkata, pihaknya menyasarkan untuk menjual 5,000 unit VS110 tahun ini.
“Ia model pertama Aveta yang diperkenalkan tahun ini dan terdapat beberapa model baharu akan menyusul dalam segmen yang akan diumumkan kemudian.
“VS110 ini tergolong dalam segmen sama seperti tiga model Aveta lain yang dilancarkan sebelum ini iaitu DY90, RX110 dan Ranger 110,” katanya.
Keempat-empat model berkenaan dipasang di kilang Aveta di Bukit Raja, Klang.
Menurut Aveta, penerimaan masyarakat terhadap model-model Aveta amat menggalakkan dan pihaknya telah berjaya menjual hampir 5,000 unit sejak pengenalan tiga model pertamanya pada Disember lalu.