PASIR MAS – Polis mengesan aktiviti tukar barang atau ‘sistem barter’ menggunakan botol atau bungkusan plastik yang ditarik menggunakan tali yang merentasi Sungai Golok masih lagi aktif di sempadan negara.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar berkata, aktiviti itu dikesan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) yang melakukan Op Benteng Covid-19 dengan menjalankan pemantauan menggunakan dron.
Menurutnya, pemantauan berterusan sentiasa dilakukan oleh PGA bagi memastikan aktiviti tersebut tidak lagi dilakukan oleh penduduk setempat.
“Kita bimbang jika ada penduduk yang mengambil kesempatan untuk meletakkan barang-barang salah seperti dadah dengan menggunakan kaedah tersebut.
“Polis tidak akan berkompromi dengan pihak yang terlibat dengan aktiviti tersebut. Mereka yang melakukan aktiviti ini bakal berdepan dengan undang-undang,” katanya ketika ditemui pemberita ketik hadir meninjau situasi terkini kejadian runtuhan tebing di Kampung Pohon Chelagi di sini hari ini.
Akhbar Kosmo baru-baru ini melaporkan, penduduk di sempadan Malaysia-Thailand di sini yang gemar bertukar-tukar barang di Sungai Golok menggunakan botol atau bungkusan plastik yang ditarik menggunakan tali boleh berdepan tindakan.
Terdahulu, sebuah video TikTok yang memaparkan penduduk tempatan dan negara jiran itu sedang bertukar-tukar barang tular sejak beberapa hari lalu.
Video berdurasi 25 saat itu menunjukkan dua lelaki sedang menarik bungkusan plastik yang ditarik menggunakan tali.
Mereka dipercayai melakukan perbuatan itu untuk menukar barangan antara satu sama lain selepas kedua-dua negara menutup sempadan negara sejak penularan wabak Covid-19.
Difahamkan, aktiviti yang digelar tukar barang itu merangkumi kiriman wang, ubat-ubat dan surat menyurat. – K! ONLINE