GUA MUSANG – Masyarakat Orang Asli yang tinggal di Kampung Om, Pos Blau di sini hidup terpinggir tanpa sebarang kemudahan asas sejak 30 tahun lalu.
Terdapat 12 keluarga hidup tanpa kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air bersih dan talian telekomunikasi.
Tinjauan Kosmo! di Kampung Om yang terletak di tepi jalan Gua Musang-Lojing mendapati, hanya tiga rumah batu dibina pihak kerajaan, manakala sembilan buah lagi merupakan rumah binaan tradisional.
Ketua Kampung Om, Jali Angah berkata, penduduk kampung hanya menggunakan pelita dan menggunakan sumber air bersih yang ditumpang daripada syarikat pembalakan.
Katanya, mereka berharap peruntukan Belanjawan 2021 yang diumumkan oleh kerajaan dapat membantu mereka mendapatkan bekalan elektrik, air bersih dan rumah yang selesa.
“Meskipun sudah tahun 2021, kami seperti hidup di zaman 60-an apabila masih lagi tidak mendapat kemudahan sepatutnya seperti kampung lain.
“Setiap hari kita pakai pelita untuk menerangi rumah. Mujur tauke balak baik hati bagi kita minyak diesel dan bekalan air,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Ghani Arifin, 39, pula berkata, dia mengharapkan rumah yang selesa untuk keluarganya.
Katanya, rumah keluarganya itu dibina sendiri menggunakan kayu dan zink terbuang yang diambil di kawasan pembalakan.
“Saya berharap dapat rumah yang selesa kerana tujuh orang anak semakin membesar.
“Penduduk Orang Asli di Kampung Om juga masih tidak mempunyai air bersih dan tiada liputan talian telefon di kawasan ini,” katanya.-K! ONLINE