PASIR MAS – Tiga buah rumah di Kampung Pohon Chelagi di sini dikesan mengalami keretakan kecil pada bahagian dalam susulan runtuhan tebing Sungai Kelantan yang berlaku semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, tiga buah rumah itu bukan terletak berhampiran tebing sungai sebaliknya berada di dalam kampung berkenaan.
Menurutnya, ia melibatkan lokasi antara 10 hingga 20 meter dari kawasan tebing sungai tempat asal kejadian itu.
“Hasil pemerhatian yang dilakukan, kita dapati pergerakan tanah di kawasan ini agak aktif.
“Oleh itu, kita ambil telah menutup semua laluan masuk ke kawasan tersebut berkuatkuasa pagi tadi,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Mohamad Roy Suhaimi memberitahu, sehingga hari ini, empat buah rumah sudah ranap dan jatuh ke kawasan cerun akibat runtuhan itu.
Katanya, polis tidak menolak kemungkinan beberapa buah rumah akan runtuh berdasarkan kepada pergerakan tanah ketika ini.
Sementara itu, Penghulu Parlimen Pasir Mas, Mohammad Azmi Mohamad Yusoff berkata, setakat ini, kerajaan negeri sentiasa cakna dengan nasib keluarga terlibat.
Katanya, pelbagai bantuan telah disalurkan termasuk wang tunai segera kepada empat keluarga yang teruk terjejas dengan insiden itu.
“Kerajaan negeri juga turut menyediakan pusat pemindaha sementara (PPS) kepada keluarga terlibat.
“Hari ini, kerajaan negeri telah menyampaikan sumbangan kepada 46 keluarga yang telah terkesan dengan runtuhan itu,” ujarnya. -K! ONLINE.