fbpx

Sikap pengotor si pembuang sampah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan sampah yang dibuang di satu kawasan jalan mati berdekatan Taman Meru Perdana dan Taman Suria Perdana di Bandar Meru Raya, Ipoh.

IPOH – Kira-kira 5,000 penduduk di Bandar Meru Raya di sini khususnya Taman Meru Perdana dan Taman Suria Perdana sudah muak dengan sikap pengotor individu dan pihak ter­tentu yang membuang sampah di satu lokasi berdekatan kawasan perumahan mereka.

Walaupun kawasan itu telah dibersihkan oleh kontraktor Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), namun ia kembali menjadi tempat longgokan sampah sarap.

Keadaan ini menimbulkan kemarahan kepada penduduk ke­rana ia bukan sahaja mengotori kawasan itu, malah membawa imej buruk Bandar Meru Raya.

Seorang penduduk, Mohd. Khirul Adnan Hamid berkata, dia kesal dengan sikap pelaku yang sesuka hati mengotori kawasan tersebut dan mahu tindakan tegas diambil pihak berkuasa.

“Penduduk sudah muak dengan sikap pengotor segelintir masyarakat. Walaupun penduduk sudah memasang kain rentang untuk mengingatkan agar perkara ini tidak dilakukan, tetapi ia tidak berkesan,” kata­nya.

Keluhan sama disuarakan Wan Nizam Alias, 41, yang mahu MBI melakukan intipan untuk menangkap individu pengotor terbabit dan dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran.

Katanya, isu sampah haram di kawasan tersebut yang terus berlaku menimbulkan kemarahan penduduk.

“Sikap tidak bertanggungjawab mereka yang membuang sampah merata-rata kembali menular disebabkan tiada kese­daran sivik.

“Longgokan sampah-sampah ini ditinggalkan sehingga ada melimpah ke jalan dan atas tanah, malah ada juga yang dibakar,” ujarnya.

Gambar menunjukkan dua individu membuang sampah di bahu jalan di Lorong Tembikai, Teluk Intan yang tular di akaun Facebook MPTI.

Di Teluk Intan, sikap segelin­tir pihak yang sesuka hati membuang sampah di bahu jalan di Lorong Tembikai dekat sini turut menimbulkan kemarahan penduduk setempat.

Menerusi satu rakaman gambar di akaun Facebook Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), dua lelaki menaiki kenderaan pacuan empat roda dilihat membuang sampah dipercayai sisa binaan di tepi jalan tersebut.

Seorang pemandu, Shamsuddin Basir, 36, berkata, sikap ambil mudah itu menunjukkan individu terbabit tidak memikirkan perasaan masyarakat setempat yang terpaksa berhadapan dengan masalah pembuangan sampah haram.

“Mereka itu mementingkan diri sendiri sahaja, buang sampah daripada kenderaan sesuka hati dengan tanggapan ada pihak yang akan member­sihkannya.

“Tindakan itu turut menyebabkan kehadiran haiwan liar seperti anjing,” katanya.

Pekerja swasta, Mohd. Dasuki Yaakob, 49, berkata, bahu jalan bukanlah tempat membuang sampah terutama sisa binaan.

“Saya mahu MPTI lebih tegas dengan mengenakan hukuman yang maksimum kepada pelaku-pelaku ini sebagai pengajaran dan jangan beri muka.

“Walaupun kakitangan MPTI telah membersihkan kawasan ini, namun masih ramai yang suka membuang sampah,” ujar­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI