fbpx

Siasat isu telur penyu diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin. - Foto: Ihsan KEPKAS

KOTA KINABALU – Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin menafikan dakwaan berkaitan siasatan ke atas keluarga yang menghidang telur penyu semasa acara makan besar Tahun Baru Cina baru-baru ini dihentikan.

Jafry berkata, Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah ketika ini masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan telur penyu menjadi salah satu hidangan keluarga abang kepada seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu.

“Tiada sebarang arahan menghentikan siasatan mengenai kes ini, dakwaan tular yang tersebar di media sosial adalah tidak benar.

“Saya juga sudah mengadakan perbincangan bersama Pengarah JHL Sabah dan kita faham terdapat kekangan untuk menjalankan siasatan berikutan pendakwaan hanya berdasarkan kepada gambar tanpa ada bukti secara fizikal atau nyata mengenai telur penyu itu.

“Bagaimanapun, saya sudah mengarahkan Pengarah JHL untuk menjalankan siasatan menyeluruh tentang kes ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Jafry menyatakan antara langkah lain yang diambil termasuklah meletakkan lebih ramai anggota untuk memantau penjualan telur penyu secara haram di beberapa kawasan sekitar Sandakan.

Terdahulu, tular di media sosial berkaitan gambar keluarga abang kepada bekas ADUN yang dikatakan menghidangkan telur penyu ketika acara makan besar sempena Tahun Baru Cina, baru-baru ini.

Gambar terbabit mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna laman sosial Facebook yang mempertikaikan tindakan keluarga berkenaan yang boleh menghidangkan telur penyu yang termasuk dalam spesia hidupan liar yang terancam. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI