SEREMBAN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengesan sembilan premis perniagaan di negeri ini yang menggunakan sijil dan logo halal tanpa kebenaran dalam operasi bersepadu yang dijalankan pihaknya bersama beberapa agensi pada tahun ini.
Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd. Zaidi Ramli berkata, antara premis yang terlibat dalam kesalahan perakuan atau penandaan halal ini adalah kilang makanan, premis makanan, pasar raya dan kedai runcit.
“Bagi memastikan pihak industri tidak menyalahgunakan logo halal atau apa-apa perakuan, penandaan halal, pihak JHEAINS telah menjalankan operasi yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Pada tahun lalu, JHEAINS telah menjalankan sebanyak lapan operasi bersepadu manakala setakat Februari ini, sembilan operasi bersepadu telah dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Zaidi berkata, kesalahan yang dikesan melibatkan penggunaan logo halal palsu, mempamerkan logo halal dan sijil halal syarikat lain tanpa kebenaran pihak berkuasa,
“Kesemua kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Perakuan & Penandaan Halal) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM200,000 atau penjara tiga tahun bagi kesalahan pertama atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata, pihak industri perlu berhenti mengelirukan pengguna dengan sijil dan logo halal tanpa kebenaran bagi melariskan jualan mereka.
“Pihak JHEAINS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana premis yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
“Orang awam juga dinasihatkan untuk memilih premis yang dipersijilkan halal dan memilih produk yang ada sijil halal yang sah dengan melayari www.halal.gov.my untuk mengetahui status halal sesebuah premis atau produk tersebut,” katanya lagi.-K!ONLINE