SHAH ALAM – Perbuatan jahat seorang penguji menerima suapan memanipulasi keputusan cerucuk pembinaan sebuah bangunan kerajaan pada tiga tahun lalu mengundang padah apabila dia dijatuhi hukuman dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Sesyen hari ini.
Hakim Rozilah Salleh memutuskan demikian selepas tertuduh Mohd. Khairul Hanis Mohd. Fauzi,36, mengaku bersalah atas lima pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada dua anak itu membayar denda RM51,850 atau berdepan penjara tambahan selama 17 bulan sekiranya gagal membayarnya.
Rozilah dalam penghakimannya menegaskan kesalahan dilakukan Mohd. Khairul adalah serius kerana melibatkan nyawa.
“Kelulusan berhubung ujian cerucuk memainkan peranan penting dalam memastikan sesebuah bangunan itu selamat.
“Pembinaan itu tidak diteruskan kerana kamu ditahan. Cuba bayangkan hasil kelulusan Pile Integrity Test (PIT) dan Pile Dynamic Analysis (PDA) dan projek diteruskan, namun berlaku sesuatu,” jelasnya.
Berdasarkan empat pertuduhan, dia didakwa menerima rasuah RM6,170 daripada seorang lelaki yang merupakan pengurus projek sebuah syarikat sebagai dorongan meluluskan ujian cerucuk bagi projek milik Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).
Projek itu adalah cadangan membina dan menyiapkan bangunan pejabat sembilan tingkat, sebuah pondok pengawal satu tingkat, sebuah pencawang elektrik, tangki air luaran dan ruang pam air, sebuah Loji Rawatan Kumbahan di Seksyen 3, Bandar Banting, Kuala Langat dekat sini.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi berdasarkan Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.
Mohd. Khairul yang kini bekerja sebagai pemandu sambilan juga dituduh memperdaya syarikat sama dengan menyerahkan dokumen yang telah dimanipulasi bagi tujuan sama.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Jalan Sultan Abdul Samad dan di Seksyen 3, Bandar Banting, Kuala Langat dekat sini antara 14 September hingga 5 November 2018.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon denda dikurangkan kerana perlu menanggung dua anaknya yang masih bersekolah selain isteri dan ibunya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab. Wahab menjelaskan kesalahan tertuduh serius dan bertanggungjawab dalam memastikan cerucuk dibina kontraktor perlu lulus ujian pertama sebelum meneruskan pembinaan selanjutnya. -K!ONLINE