PUTRAJAYA – Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 yang digazetkan pada 17 Februari lalu akan menyaksikan penalti lebih berat dikenakan kepada majikan yang gagal menyediakan menyediakan penginapan buat pekerja masing-masing.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ordinan itu mengandungi objektif antaranya memperluas pemakaian Akta 446 kepada Sabah dan Sarawak selain memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia untuk mengeluarkan arahan kepada pemilik penginapan.
Beliau berkata, arahan itu termasuklah untuk mengganti, mengubah atau membaik penginapan yang tidak mematuhi Akta 446 dan memindahkan pekerja dengan serta-merta daripada penginapan yang sesak dan tidak sesuai didiami ke penginapan sementara yang ditetapkan jabatan.
“Dalam hal ini, pemilik penginapan akan menanggung semua kos pengangkutan daripada penginapan asal ke penginapan sementara, pengangkutan pergi balik ke tempat kerja dan penginapan sementara dan kos sewaan penginapan sementara.
“Pemilik penginapan yang gagal mematuhi arahan ini boleh didenda RM200,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam sidang akhbar menerusi aplikasi Zoom di sini hari ini.
Saravanan berkata, Ordinan Darurat itu juga memberi kuasa kepada Menteri Sumber Manusia untuk membuat penurunan kuasa Akta 446 kepada pegawai daripada agensi lain.
“KSM turut bercadang untuk membuat penurunan kuasa Akta 446 kepada pegawai-pegawai yang terlibat daripada enam kementerian iaitu agensi di bawah KSM sendiri, Kementerian Kerja Raya; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri” katanya.
Beliau berkata, penguatkuasaan itu mengutamakan 75,000 majikan yang menggajikan pekerja asing dengan tumpuan kepada tiga negeri dengan bilangan pekerja asing tertinggi iaitu Selangor, Johor dan Kuala Lumpur.
“Ia turut melibatkan tiga sektor dengan kes positif tertinggi iaitu Pembuatan, Pembinaan dan Perkhidmatan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, mana-mana majikan yang gagal memastikan pekerja asing atau pekerjanya yang tinggal di penginapan disediakan untuk menjalani vaksinasi Covid-19 adalah melakukan kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446]. -K! ONLINE.