fbpx

OBK antara pemenang Anugerah Penguatkuasaan Alam Sekitar Asia 2020,

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah satu OBK yang dijalankan Perhilitan bersama beberapa agensi penguatkuasaan lain.-Gambar hiasan

PETALING JAYA – Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dinobatkan sebagai antara pemenang Anugerah Penguatkuasaan Alam Sekitar Asia 2020.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, OBK yang dilaksanakan Perhilitan dibawah seliaan kementeriannya dipilih untuk merangkul anugerah itu pada Majlis Anugerah Penguatkuasaan Alam Sekitar Asia Ke-5 anjuran Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) semalam.

Katanya, anugerah berkenaan adalah berdasarkan kejayaan cemerlang OBK pada 2019 apabila 87 pesalah ditangkap dengan jumlah sitaan bernilai RM2.7 juta serta memusnahkan sebanyak 460 jerat dawai.

“Selain itu, pada tahun 2020 pula, seramai 140 pesalah ditangkap dengan jumlah sitaan bernilai RM1.85 juta dan 672 jerat dawai dimusnahkan.

“OBK akan terus giat dilaksanakan, malah diperkukuh bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3),”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, OBK telah dilancarkan pada 3 September 2019 itu turut membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perhutanan Negeri, Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP), Perbadanan Taman Negeri Johor (PTNJ) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jelas beliau, sekalung tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk Perhilitan, PDRM, JKDM dan JPSM dalam menjayakan OBK.

“Kerjasama strategik seumpama itu bukan saja akan diteruskan tetapi juga diperkukuh bagi menjaga khazanah biodiversiti negara yang tidak ternilai.

“Semua pihak disarankan supaya berganding bahu memperhebatkan usaha membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar,” ujarnya.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI