MELBOURNE – Pemain tenis Rusia, Daniil Medvedev berjaya melangkah ke pentas separuh akhir kejohanan Grand Slam buat tiga kali dan kali pertama di Terbuka Australia dalam kariernya selepas menewaskan rakan senegara, Andrey Rublev dengan kemenangan straight set 7-5, 6-3, 6-2 semalam.
Medvedev antara pemain pilihan yang dijangka melakukan kejutan melangkah ke pentas final Terbuka Australia selepas aksi cemerlangnya dengan meraih 19 kemenangan berturut-turut sepanjang musim lalu.
Pemain ranking No.4 dunia tersebut tampil cemerlang dengan meraih gelaran di Piala ATP, Final Jelajah Dunia ATP di London dan Paris Masters.
“Saya gembira kerana berjaya melangkah ke separuh akhir dan saya telah melakukan persiapan yang cukup baik sebelum berada di sini. Saingan Grand Slam bukan mudah dan saya perlu bekerja keras sekiranya mahu ke pentas final.
“Pada perlawanan tersebut saya mengalami kesakitan pada kaki dan kekejangan. Saya tidak mahu menunjukkan kesakitan itu dan cuba menamatkan saingan secepat yang boleh.
“Akhirnya saya berjaya melakukannya dan melangkah ke separuh akhir. Saya kenal Rublev dan tahu bagaimana cara dia bermain. Jadi, saya yakin mampu mengatasinya.
“Saya tidak mempunyai banyak masa dan perlu berehat agar kecederaan ini segera pulih. Saya akan melakukan yang terbaik dan tidak mahu fikir siapa lawan saya selepas ini,” katanya.
Sementara itu, pemain No.1 dunia, Novak Djokovic enggan melepaskan peluangnya untuk menjuarai saingan Terbuka Australia kali ini apabila turut mara ke peringkat separuh akhir selepas berjaya menyingkirkan Alexander Zverev.
Pada perlawanan tersebut, Djokovic ketinggalan pada set pertama, namun bangkit mengatasi Zverev tiga set kemudian sebelum menang dengan keputusan 6-7, 6-2, 6-4, 7-6. – AGENSI