fbpx

Maqis rampas serbuk telur kuning 100kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Serbuk telur kuning yang dirampas Maqis Johor di laluan kargo import di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru kelmarin.

JOHOR BAHRU – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya mematahkan cubaan membawa masuk produk telur seberat 100 kilogram (kg) bernilai RM3,386 di laluan kargo import Maqis Bangunan Sultan Iskandar, kelmarin.

Pengarah Maqis Negeri Johor, Nur Afifah A. Rahman berkata, rampasan produk serbuk telur kuning (egg yolk powder) yang dipercayai dari Denmark itu dibuat pada pukul 8.30 malam hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan.

“Kesemua barang dagangan tersebut yang dianggarkan bernilai RM3,386 ditahan kerana tidak mematuhi syarat import iaitu gagal mengemukakan sijil kesihatan dari negara asal sebagaimana yang dinyatakan dalam permit, lesen atau perakuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nur Afifah berkata, Maqis mengambil keterangan pemandu berusia 28 tahun itu berhubung rampasan terbabit sebelum dilepaskan.

Katanya, kes akan disiasat di bawah seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana tidak mematuhi syarat import sebagaimana yang dinyatakan dalam permit, lesen atau perakuan.

Tambahnya, jika disabitkan kesalahan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan ke dua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

“Pihak Maqis sentiasa komited dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI