BARCELONA – Biarpun tanpa Neymar, finalis musim lalu, Paris Saint-Germain (PSG) tidak berdepan masalah untuk membelasah gergasi Sepanyol, Barcelona 4-1 pada aksi pertama pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara di Camp Nou awal pagi semalam.
Lebih menarik, Kylian Mbappe mempamerkan kelasnya yang tersendiri apabila berjaya meledak hatrik.
“Kemenangan ini amat penting buat PSG. Kami tidak boleh mendabik dada kerana masih belum memenangi pertarungan ini.
“Saya sentiasa mahu memberikan prestasi terbaik dan segala kerja keras selama ini berbaloi,” kata Mbappe yang meledak gol pada minit ke-32, 65 dan 85.
Barcelona membuka tirai jaringan hasil sepakan penalti Lionel Messi dalam separuh masa pertama sebelum segala-galanya berubah menjadi milik PSG menerusi ledakan hatrik Mbappe dan satu gol daripada penyerang pinjaman Everton, Moise Kean.
Biarpun beraksi cemerlang, namun Mbappe, 23, enggan memberi jaminan mengenai masa depannya bersama PSG ketika kontraknya akan berakhir tahun depan.
Sebagai rekod, Mbappe merupakan pemain ketiga meledak hatrik Liga Juara-Juara ke atas Barcelona selepas Faustino Asprilla (Newcastle United) dan Andriy Shevchenko dengan Dynamo Kiev. – AGENSI